Bukan sekadar ucapan, pelanggan minta tulis karangan atas kek! Baker habiskan masa hampir sejam – “Kalau salah eja, memang habis!”

BUKAN sepotong dua ayat, sebaliknya ia ucapan panjang yang dikarang oleh seorang anak sempena sambutan hari lahir bapa tersayang!

Itulah tugasan yang perlu dilunaskan oleh seorang pembuat kek ini demi memenuhi permintaan pelanggannya yang mahu agar ucapan tersebut ditulis di atas kek tempahannya.

Melihat kepada beberapa keping gambar kek berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini, pujian seharusnya diberikan kepada si pembuat kek kerana berjaya merealisasikan permintaan pelanggannya.

Bukan sahaja cantik, malah tulisan setiap bait-bait ayat disusun kemas dan kelihatan seimbang.

Menurut pembuat kek berkenaan, Fuad Ismail Iskandar, 31, dia mengakui tugasan tersebut paling mencabar sepanjang hampir tiga tahun berkecimpung dalam bisnes bakeri.

“Pelanggan ni sebenarnya dah pernah tempah kek dengan saya… kali ini dia tempah untuk sambutan hari jadi ayahnya. Mula-mula masa dia buat permintaan untuk tulis ‘wording’ tersebut atas kek, saya terkejut juga sebab panjang.

Fuad (kiri) bersama rakan karibnya Awal (tengah) dan Tamizi mengasaskan Shafwad Cheesecake sejak hampir tiga tahun lalu.

“Tapi demi kepuasan pelanggan, saya cuba berikan yang terbaik. Dan pelanggan tu pun kata, dia percaya team saya pasti dapat realisasikan permintaannya.

“Alhamdulillah, pelanggan tersebut berpuas hati dan itu juga kepuasan untuk saya dan team,” katanya kepada mStar.

Senang disapa sebagai Fuad, lelaki ini berkata tugasan tersebut perlu dilakukan dengan penuh fokus agar tidak berlaku kesilapan ejaan dan sebagainya.

“Boleh dikatakan ini yang paling mencabar. Perlu beri tumpuan 100 peratus.. lengan, posisi badan pun mainkan peranan. pertama sebab tulisan ini panjang, dan kedua, ia ditulis di atas permukaan ‘chocolate ganache’ yang lembut.

“Ini kalau salah eja, memang habis sebab kena simbah semula lapisan coklat di atas kek. Saya ambil masa kira-kira 45 mint untuk siapkan wording tu. Memang lenguh jugalah,” katanya sambil berseloroh.

Aneka jenis kek keju tempahan pelanggan yang dihasilkan oleh Fuad dan rakan-rakan.

Tambah Fuad, dia sekadar suka-suka membuat perkongsian di laman Facebook Masak Apa Tak jadi Hari Ni kerana sering memuat naik hasil dekorasi kek di laman sosial.

“Tak sangka boleh viral… Saya tahu pun selepas team saya dan pelajar yang ikuti kelas baking online yang beritahu, Alhamdulillah, selain dapat komen positif, kami juga dapat mesej daripada baker-baker lain yang nak sertai kelas online,”katanya.

Bercerita serba ringkas mengenai perniagaan bakerinya, Shafwad Cheesecake Johor Bahru, Fuad berkata ia diasaskan bersama dua rakan karibnya, Awal Ibrahim, 39, dan Tamizi Sarbini, 39, sejak hampir tiga tahun lalu.

 

Kami mula dapatkan feedback dari ahli keluarga dan kawan-kawan. Bila semua bagi feedback positif, baru kami berani ambil order.

FUAD ISMAIL ISKANDAR

PEMBUAT KEK

“Awal tahun 2017, kami dah mula buat kek sendiri dan kek pertama yang kami buat adalah Japanese Cheesecake. Kami buat keputusan berhenti kerja untuk lebih fokus dalam baking sejak 2018.

“Kami mula dapatkan feedback dari ahli keluarga dan kawan-kawan. Bila semua bagi feedback positif, baru kami berani ambil order.

“Bermula dari situ kami banyak explore segala jenis kek yang wajib ada cheese seperti Japanese cheesecake, basque burnt, oreo cheesecake, mango cheesecake… kami adjust rasa dan tekstur ikut mata dan tekak kami,” katanya sambil menambah, Shafwad HQ berpengkalan di Kulai, Johor Bahru.

(Kiri) Japanese Cheesecake, (kanan) tempahan kek yang disiapkan untuk kerabat Johor.

Tambah Fuad, dia dan dua rakannya mula mengorak langkah dengan mengadakan kelas secara dalam talian bermula Oktober 2019.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, terlalu ramai yang sertai kelas kami sama ada dari dalam mahupun luar Malaysia seperti Singapura, Dubai, Brunei, United Kingdom dan yang terbaru Mexico. Meraban kami nak buat bilangual segala resepi.

“Tapi best bila ada ahli yang jadikan resepi kami punca pendapatan. Yang ni memang terharu sangat-sangat,” ujarnya.

Fuad dan rakan-rakan menyimpan impian untuk membuka kedai kek setaraf dengan kedai kek terkenal.

Meskipun rata-rata perniagaan terjejas dek pandemik Covid-19, Fuad dan rakan-rakannya bersyukur kerana perniagaan mereka masih mampu bertahan sehingga kini.

“Sehingga kini kami hanya bekerja di rumah je. Belum berani lagi untuk buka kedai sebab ilmu belum cukup untuk handle bisnes di kedai and modalnya juga besar.

“Semestinya kami nak jadi setaraf dengan kedai-kedai kek yang famous dan berkualiti sekarang ni. Tapi buat masa ini, kami nak kongsi kegembiraan menerusi cheesecake,” katanya lagi.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Media Malaysia

Sumber : Mstar

Be the first to comment on "Bukan sekadar ucapan, pelanggan minta tulis karangan atas kek! Baker habiskan masa hampir sejam – “Kalau salah eja, memang habis!”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*